login
The Ramlah Ram Group
Berita Terkini Tentang Album Terbaru Ramlah Ram!
Posted in Buletin Ramlah on Sep 22, 2008 at 7:37 AM by Ramlah Ram
Current Mood: excited

Album Penuh Selepas Aidilfitri


Penyanyi malar segar, Ramlah Ram masih kekalkan konsep pop


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

SEBAIK saja ruangan Dengarnya oleh Normah Bechok baru-baru ini menyiarkan cerita kononnya penyanyi malar segar, Ramlah Ram akan muncul bersama sebuah album penuh yang baru selepas Aidilfitri, ramai sekali peminat yang inginkan kepastian apakah cerita yang ditulis itu benar?

Daripada tindak balas yang diterima, jelas penyanyi dari Muar, Johor itu masih cukup kental di kalangan peminatnya. Apatah lagi, suara lantangnya bagai tiada salinan. Seramai mana artis baru muncul, keunikan penyanyi kecil molek ini tetap mempunyai tempatnya yang tersendiri dalam dunia muzik tempatan.

Baru-baru ini, penyanyi yang mula meletup dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini turut memeriahkan acara berbuka puasa bersama ibu tunggal, anjuran radio Suria FM. Pada majlis itu, Ramlah tidak ketinggalan memperdengarkan single terbaru berjudul Cinta Beralah, ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya.

Kesempatan itu juga digunakan wartawan untuk mendapatkan pengesahan apakah selepas 10 tahun, penyanyi berusia 43 tahun itu akhirnya akan muncul bersama album studio yang baru?

"Insya-Allah, sekiranya semua perancangan berjalan dengan sempurna, Ramlah akan muncul dengan album penuh selepas Aidilfitri nanti. Sehingga kini, sudah lapan lagu dirakam. Dalam masa terdekat, Ramlah akan masuk studio untuk merakamkan dua lagu selebihnya," katanya.

Masih mengekalkan konsep pop, album berkenaan menyaksikan penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1985 itu bekerjasama bersama komposer ternama seperti M Nasir, Fauzi Marzuki, Aidit Alfian, Tam Spider, Eddie Hamid (Radin Sri), Sharon dan Azlan Abu Hassan. Single pertama ciptaan Azlan, Ketentuan, kira-kira setahun lalu cukup digemari ramai dan muncul lagu terbaik Hits 1 awal tahun ini.

"Bagi album ini, Ramlah meminta komposer menghasilkan sesuatu yang tidak terlalu moden dan tidak juga terlalu lama. Biarlah irama yang dihasilkan itu dapat memuaskan hati kedua-dua peringkat pendengar. Maknanya, peminat lama Ramlah boleh menerima, manakala golongan peminat baru juga akan menyukainya," ujarnya.

Kali akhir penyanyi ini muncul bersama album solo ialah pada 1998 menerusi Sekeping Cinta Sehampar Janji. Menerusi album ke-11 itu, dia cukup dikenali dengan lagu Zapin Yang Tinggal.

Begitupun, kata Ramlah, tempoh 10 tahun tidak pun terasa cukup lama kerana dia sendiri tidak pernah berhenti menyanyi. Boleh dikatakan, Ramlah antara penyanyi dekad 80-an yang masih lagi aktif hingga sekarang. Nama yang dipahat bersama lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab kuat melekat di hati peminat.

"Ramlah sendiri masih lagi menyanyikan lagu Kau Kunci Cintaku sampai ke hari ini. Semua itu membuatkan Ramlah tidak terasa pun begitu cepat masa berlalu. Sedar tak sedar, sudah 23 tahun lamanya sejak Ramlah muncul dengan album pertama," katanya yang terharu apabila ramai peminat muda yang masih mengenali seterusnya menyanyikan lagu nyanyiannya, tidak kiralah di pusat karaoke atau di mana saja.

Dia sendiri terkejut melihat bagaimana anak saudaranya yang masih kecil boleh menyanyikan lagu lama nyanyiannya, sedangkan jurang usia dan jarak waktu antara kedua-duanya begitu jauh ketara.

Pada pertanyaan, apakah lagu terbarunya juga bakal menyaksikan dia melantunkan nada yang tinggi seperti lagu popularnya sebelum ini, Ramlah berkata, nampaknya peminat masih menginginkan dia terus menyanyikan lagu bernada demikian.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, Ramlah masih boleh menyampaikan lagu bernada tinggi tanpa sebarang masalah. Malah, jika menyanyikan lagu lama sekalipun, Ramlah masih menggunakan key yang sama.

"Sebagai penyanyi, kita perlu menjaga suara yang dianugerahkan Tuhan. Itulah aset paling berharga buat kita golongan penyanyi. Jadi, jagalah anugerah itu dengan sebaik-baiknya. Ramlah sendiri cukup berhati-hati dalam penjagaan suara," tutur wanita ramah ini yang turut mengakui kepentingan penjagaan penampilan demi memastikan kelangsungan karier.

Penyanyi itu juga berkata, selagi terdaya dia akan tetap menghambakan diri pada dunia nyanyian. Jika tiba saatnya nanti dia berasakan dirinya ingin bersara, tentu sekali dia sendiri akan memperlahankan geraknya dalam arena seni. Sehingga detik itu tiba, Ramlah tidak nampak mengapa dia harus berhenti daripada meneruskan aktiviti yang cukup dicintainya pada ketika suara masih diminati ramai.

Menyentuh mengenai Hari Raya, Ramlah berkata, selalunya dia dan suami, Kamal Roslim, akan pulang ke kampung di Muar. Soal balik ke rumah siapa pula tidak pernah diperdebat kerana kampung kedua-dua orang tua mereka tidaklah jauh jaraknya. Namun, sebagai isteri, dia selalunya akan mengikut suami beraya di rumah orang tuanya pada hari raya pertama.

Selain membelikan pakaian untuk ibu bapa dan anak saudara, Ramlah memberitahu, dia turut menyediakan pakaian raya untuk kucing peliharaannya. Sejak lima tahun lalu, penyanyi ini mula jatuh cinta dengan kucing dan sehingga kini, dia memiliki lapan ekor kucing pelbagai jenis. Dia juga menamakan kucing dengan nama seperti Diego, Paloma, JLo, Bobo, Mike Tyson, Tom Cruise, Lisa dan Jojo.


Source : Berita Harian


Comments5)

Sep 22nd, 8:04am
Pengsan aku dgr nama kucing2 Kak Ramlah kita ni... Jangan main-main hoo.. kucing holywood nie! Tabik!
Sep 22nd, 1:13pm
Tu antara gambar yg diambil untuk cover album baru ke?
Sep 22nd, 2:46pm
bukan... tu rasanya gambar wartawan ambik utk tujuan promosi
gambar utk cover album lain, takde baju hitam :)
Sep 23rd, 12:59am
gambar untuk cover tidak mungkin akan disiar di mana2 laman web atau akhbar sebelum album penuh berada di pasaran... kalau ada pun ianya hanya akan disiar sebaik saja album diedarkan.... :)
Sep 26th, 1:03pm
cover album kak ramlah lagi cantik

RssFeed

Rate this thread:
Average Rating:
Not rated
Report Post as Objectionable