
BUKAN mudah bergelar isteri kepada Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee. Terlalu banyak dugaan terpaksa dihadapi hingga membawa kepada timbulnya masalah dalam rumah tangga, yang kemudian berakhir dengan perceraian.
Demikian pengakuan Melissa Saila, Atilia Haron dan Liza Hanim yang terpilih membawakan watak tiga isteri kepada insan seni terulung tanah air itu - Junaidah, Norizan dan Saloma - dalam P Ramlee...The Musical yang sedang dipentaskan untuk musim keduanya di Istana Budaya ketika ini.
Tagline teater ini iaitu Kehidupan, Cinta dan Inspirasi memang kena dengan kisah hidup seniman itu. Mungkin tidak semuanya betul tetapi sekurangkurangnya ia memberi gambaran kepada kita mengenai kehidupan P Ramlee.
Dan, bagi Melissa, Liza dan Atilia, biarpun tidak pernah mengenali lebih dekat ketiga-tiga wanita itu, namun melihat saja watak yang dilakonkan mereka dalam pementasan berkenaan sudah cukup membayangkan betapa sukarnya kedudukan sebagai isteri kepada insan seni bergelar P Ramlee.
Bagi Melissa atau lebih mesra dengan panggilan manjanya, Lis, terlalu banyak pengorbanan terpaksa dilakukan setiap isteri seniman itu.
“Dua kali perkahwinan beliau gagal disebabkan tiada persefahaman, selain tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupannya sebagai insan seni.
Allahyarham cukup menyayangi setiap isterinya dan disebabkan itu, beliau cukup kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.
Kekecewaan Allahyarham itu turut digambarkan dalam satu babak teater P Ramlee...The Musical yang sedang dipentaskan di IB ketika ini, menerusi dialog berbunyi `I pernah mati dua kali Sally (Saloma)... I kembali hidup selepas bertemu you’.
“P Ramlee kembali pulih dari kekecewaannya selepas bertemu dengan Saloma yang menemaninya hingga ke akhir hayat. Namun, Allahyarham tetap menyayangi keduadua bekas isterinya,” katanya mengharapkan pementasan itu dapat menjelaskan segala kekeliruan terhadap kehidupan peribadi P Ramlee, terutama kisah rumah tangganya.
Melissa yang juga anak saudara P Ramlee, berkata beliau agak terharu apabila diberi peluang oleh Penerbit Eksekutif Enfiniti Productions, Datin Seri Tiara Jacquelina menjayakan pementasan muzikal itu dengan membawakan watak Norizan.
Walaupun pernah beraksi dalam banyak pementasan sebelum ini, namun tugas itu tidak dianggapnya mudah, lebih-lebih lagi beliau tidak pernah mengenali wanita itu secara peribadi, sebaliknya cuma berpandukan kepada cerita ibunya, Mariani, yang juga kakak Saloma.
“Bukan mudah untuk membawakan watak ini. Banyak persediaan perlu dibuat untuk membawakan watak itu. Saya tidak pernah mengenali siapa sebenarnya Norizan. Ibu banyak membantu saya dalam menghidupkan watak ini.“
Tapi sesukar mana sekali pun tugasan ini, saya menganggapnya satu cabaran. Apabila orang sudah memberi kita kepercayaan, kenalan saya melaksanakan amanah itu sebaik mungkin. Bagus atau tidak lakonan saya, itu terserah kepada penonton untuk menilaikannya,” katanya.
Lis berkata, beraksi dalam P Ramlee...The Musical juga cukup sukar berbanding pementasan lain yang pernah dijayakannya kerana dia bukan saja perlu berlakon tetapi juga menari serta me nyanyi. “Itulah keunikan pementasan ini. Nama pun teater muzikal, mesti ada unsur tarian dan nyanyian. Penceritaannya bukan hanya dari segi dialog dan lakonan, malah tarian dan nyanyian itu turut sama memainkan peranan.
“Alhamdulillah, orang ramai memberi respon cukup baik terhadap pementasan ini. Mereka mengatakan lakonan saya tidak mengecewakan. Saya pun tidak pasti bagaimana karektor sebenar Norizan dulu, tetapi saya sudah cuba menghidupkan watak itu sebaik mungkin. Mungkin apa yang saya tunjukkan bukan diri Norizan sebenar,” katanya.
Pandangan Lis turut dipersetujui Liza Hanim, yang menyatakan tidak banyak fakta sebenar kisah rumah tangga seniman itu diketahui umum termasuk status ketiga-tiga isterinya yang sebelum itu semuanya ialah janda, termasuk Saloma.
“Sebelum P Ramlee mengahwini mereka, ketiga-tiga isterinya itu janda. Saya pun tidak tahu fakta ini sehinggalah terbabit dalam pementasan ini. Itulah yang unik mengenai P Ramlee dan tidak ramai tahu mengenai perkara ini,” katanya yang muncul sebagai Saloma dalam P Ramlee...The Musical.
Katanya, pementasan musim kedua ini lebih menarik disebabkan dia sudah bersedia secukupnya membawakan watak itu, ditambah lagi dengan semangat tinggi yang ditunjukkan pelakon lain.
“Sungguhpun masih melakonkan watak sama, cabaran yang dilalui tetap memerlukan saya berkerja keras sama seperti pelakon lain. Malahan, pengalaman beraksi dalam pementasan tahun lalu turut dijadikan garis panduan dalam memperbaiki mutu lakonan.
“Kali ini lebih mencabar kerana tempoh latihan agak singkat, cuma dua bulan berbanding empat bulan pada musim pertama dulu. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana pengalaman lalu banyak membantu saya mempersiapkan diri kali ini,” katanya.
Liza berkata, walaupun berpengalaman beraksi dalam pementasan sama sebelum ini, dia harus bekerja keras bagi memastikan lakonannya kali ini lebih sempurna.
“Saya bangga dapat beraksi dalam P Ramlee...The Musical.
Bukan bangga pada diri sendiri tetapi pada semua barisan pelakon dan krew produksi.
Saya melihat semua pihak begitu komited dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Manakala, Atilia yang melakonkan watak isteri pertama P Ramlee, Junaidah, menganggap lakonannya kali ini lebih `lancar’ berbanding musim pertamanya tahun lalu, yang ketika itu masih baru dalam bidang lakonan, terutama teater.
“Betul apa yang Lis cakap, bukan senang mahu jadi 'isteri' P Ramlee, apa lagi isteri pertamanya.
Lagipun, Junaidah tidak terkenal sangat berbanding Norizan dan Saloma. Selepas bercerai dengan P Ramlee, Junaidah terus pulang ke Indonesia dan menyepikan diri.
“Tidak banyak kisahnya dipaparkan.
Ini menyukarkan saya untuk mencari sumber rujukan bagi menjiwai dan menghidupkan wataknya. Mujurlah Adlin (Aman Ramlie), Datin Seri Tiara (Jacquelina) dan Datuk Zahim (al-Bakri) banyak membantu...
mereka banyak bersabar dengan saya,” katanya.
Dia turut menyifatkan pe ngalamannya beraksi dalam pementasan kali ini lebih menyeronokkan kerana berpeluang berlakon bersama Juara Bintang P Ramlee 1996, Musly Ramlie, yang menggantikan Sean Ghazi sebagai P Ramlee.
“Apabila Musly datang ke uji bakat, semua orang terkejut.
Wajah Musly saling tak tumpah dengan P Ramlee.
Kemudian dia menyanyi dan menari, memang seakan-akan P Ramlee. Saya rasa seolah-olah Allahyarham masih hidup,” katanya.
Selain Melissa, Atilia, Liza dan Musly, turut beraksi dalam pementasan kali ini ialah Emelda Rosmila yang berlakon sebagai kekasih pertama P Ramlee, Azizah, yang mana watak itu pada musim pertamanya dilakonkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Tidak ketinggalan Chedd Yusuf sebagai Sukardi, kawan baik P Ramlee; Kumpulan Infinatez (Paparazzi), Baby Erin, Ruzana Ibrahim dan Nadi Aqilah (Tiga Dara), Douglas Lim dan Colin Kirton (Shaw Brothers), Joseph Gonzales (BS Rajhans) dan Wan Kenari Ibrahim (D’Harris).
Diarahkan oleh Adlin Aman Ramlie berdasarkan skrip tulisannya sendiri, Teater Muzikal P Ramlee (Musim Kedua) turut menampilkan pembaharuan dari segi susunan muzik gubahan komposer terkenal, Roslan Aziz dan gerak tari ilham Pat Ibrahim, manakala Datuk Zahim al-Bakri sebagai Pengarah Bersekutu.
Courtesy: Bintang Popular Berita Minggu